Daging Masak Hitam

Photobucket


Bahan-bahan

500gm daging - dihiris nipis-nipis
250ml santan pekat
1 sudu besar kerisik
1 sudu teh gula merah
sedikit kicap pekat
garam secukup rasa

Bahan rempah
- dicampur dan dibancuh dgn sedikit air untuk jadikan paste

1 sudu makan serbuk jintan manis
1 sudu makan serbuk jintan putih
1 sudu makan serbuk ketumbar

Bahan tumis

Kulit kayu manis
Buah pelaga
Bunga cengkih

Bahan kisar
- dicampur dan dikisar

1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering - boleh ditambah atau dikurang mengikut citarasa masing-masing.

Cara memasak

1. Panaskan sedikit minyak. Tumiskan bahan tumis dan bahan kisar. Biarkan garing.
2. Masukkan bahan rempah, kacau dan biarkan hingga berbau wangi dan naik minyak.
3. Masukkan daging. Jika kering, masukkan sedikit air. Biarkan hingga daging empuk.
4. Masukkan gula merah, kerisik, kicap pekat dan santan. Masak hingga kuahnya agak kering.
5. Sebelum angkat, masukkan garam secukup rasa.
6. Sedap dimakan dengan nasi putih.

Laksa Penang

Photobucket


Bahan-bahan

1 bungkus laksa (500gm)
1 kg ikan kembung - disiang dan dibersihkan
2 biji bawang besar - dikupas
5 sudu makan cili giling (boleh tambah atau kurangkan mengikut citarasa masing-masing)
2 batang bunga kantan - dibelah enam
2 ikat daun kesum - dipetik dan dibersihkan
5 keping asam gelugor
sedikit belacan
garam secukup rasa

Bahan untuk hiasan

timun - dihiris halus
cili merah - dipotong
bawang besar - dipotong bulat
daun salad - dipotong halus

Cara memasak

1. Laksa direndam hingga lembut kemudian direbus hingga masak. Toskan dan ketepikan.
2. Ikan kembung direbus dalam sedikit air hingga mendidih. Angkat dan toskan dan biarkan ia sejuk. Simpan air rebusan ikan tersebut dalam periuk yang agak besar.
3. Bawang besar, cili giling dan belacan dikisar hingga lumat. Kemudian masukkan ke dalam air rebusan ikan tadi.
4. Isi ikan diasingkan daripada tulang dan dikisar. Masukkan ke dalam periuk yang mengandungi air rebusan ikan.
5. Tulang dan kepala ikan juga dikisar kemudian ditapis. Airnya dimasukkan ke dalam periuk yang mengandungi campuran air rebusan ikan tadi.
6. Jerangkan campuran ini di atas api hingga mendidih.
7. Masukkan daun kesum, asam gelugor dan bunga kantan. Didihkan lagi.
8. Rasa garam dan masam kuah laksa ini sebelum ditutup api.
9. Masukkan sedikit laksa ke dalam mangkuk. Taburkan bahan hiasan dan tambah kuah.
10. Sedia untuk dihidangkan. Sedap dimakan panas-panas.


Ikan Tenggiri Goreng Bersos


Bahan-bahannya

3 keping ikan tenggiri - dibasuh bersih-bersih
5 ulas bawang merah - dikupas
3 ulas bawang putih - dikupas
8 biji cili padi
1 labu bawang besar - dipotong bulat
1 batang serai - dititik
1 biji tomato - dipotong dadu
1 biji limau nipis
sedikit sos cili
sedikit sos tomato
sedikit sos tiram
sedikit kicap manis
garam secukup rasa
sedikit gula jika suka

Cara memasak


1. Ikan tenggiri dilumur garam kunyit dan digoreng hingga masak. Ketepikan.
2. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan cili padi.
3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis bawang merah, bawang putih dan cili padi yang telah ditumbuk tadi. Masukkan juga serai yang telah dititik. Kacau hingga garing.
4. Masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram dan kicap. Kacau rata. Jika kering, tambahkan sedikit air.
5. Bila telah naik minyak, masukkan bawang besar yang telah dipotong bulat. Kacau hingga bawang layu.
6. Masukkan garam dan gula. Biarkan sekejap.
7. Tutup api. Kemudian curahkan kuah ini ke atas ikan yang telah digoreng tadi. Perahkan limau nipis sebelum menghidangnya.